Image

Image

Pages

Showing posts with label pregnancy. Show all posts
Showing posts with label pregnancy. Show all posts

Monday, April 29, 2013

Pengalaman bersalin (part 2)

Salam,

ni sambungan dari part 1 hari tu. sampai hospital saya daftar sambil dah pegang kain batik. pagi tu dah datang kan so dah tau dah nak kene buat apa, so lepas tu masuk dalam dan buat semua prosedur yang saya buat pagi tu, ambil urine, cek CTG dan juga bukaan. tapi kali ni CTG tu ambil masa yang sangat lama sebab bacaan jantung baby tak normal. kejap-kejap mesin tu bunyi. saya tak tau kenapa. nant ade nurse datang betulkan then ok kejap lepas tu bunyi balik. selalu 20 minit jek masa untuk buat CTG tu tapi kali ni berjam-jam lamanye. saya tanya nurse kenapa, nurse cakap baby tidur. huhu boleh pulak mama dia dah sakit dia tidur lagi kat dalam perut tu. last-last nurse main perut, urut gosok semua la baru bacaan normal. dalam pukul 3 pagi baru la doktor cek bukaan. masa tu dah buka 6 cm. Alhamdulillah. cepat jugak terbukak jalannya.
 
pukul 4 lebih doktor cek bukaan dah 8 cm so doktor pecahkan air ketuban. masa nak pecahkan tu saya takut sangat tapi rupanya tak rasa apa-apa, tiba-tiba rasa panas dan basah jek. lepas dah pecahkan air ketuban saya dibawa masuk ke bilik bersalin pukul 5 pagi. masa tu baru nurse panggil En. Husband. tapi masa tu tahap kesakitan dia lebih sakit lagi dari yang sebelum tu. tapi tu pun masa tunggu bukaan tu saya dah menggigil tahan sakit. saya pegang besi katil tu bila contraction datang. memang sakit yang tak tahu nak dijelaskan. tapi bila masuk dalam bilik bersalin tu sakit dia lagi berpuluh kali ganda, memang saya tak tahu nak buat apa dah time tu. nasib baik En. Husband ade, dia tak berhenti suruh saya berdoa, tolong tenangkan saya. sampai tercedera kena cakar dengan saya masa tu.
 
tak lama lepas tu bila contraction datang jek saya terasa macam nak terberak yang dah tak tahan sangat. saya panggil nurse tapi bila die cek, bukaan belum bukak sepenuhnya. jadi dia suruh saya tahan jangan teran dulu. Ya Allah, saya tak tahu nak tahan macam mana dah, habis kepit pun memang rasa nak terkeluar sangat dah. berpusing-pusing saya atas katil tu menahan sakit. tak tahu nak gambarkan macam mana sakitnya. mulut tak berhenti berdoa, berzikir semoga dipermudahkan semua.
 
bila dah tak tahan sakit, saya panggil balik nurse.kali ni alhamdulillah bukaan dah cukup dan saya dibenarkan meneran. tapi saya tak pandai nak teran. tak tahu la berapa kali saya cuba teran tapi tak berjaya sampai kena marah dengan nurse. dia ugut saya kalau dalam masa 1 jam tak keluar jugak dia akan guna cara lain. cara apa saya pun tak pasti. dengar macam tu saya dah risau. En husband tak putus-putus bagi sokongan masa tu termasuk la nurse-nurse. akhirnya saya cuba lagi meneran dengan sekuat hati, beberapa kali cuba, nurse cakap dah nampak rambut baby, nurse suruh En. husband tengok. saya cuba teran lagi sekuat hati dan kepala baby pun keluar. masa nak keluar tu terasa doktor gunting...huhu tapi still tak dapat lawan sakit bersalin tu sendiri. saya diminta rehat kejap then teran lagi sekali. finally, pukul 5.42 pagi saya selamat bersalin. bila baby keluar jek hilang semua segala kesakitan yang ditanggung tu. bila nampak baby, terharu sangat rasa. saya bersyukur kepada Allah kerana memudahkan segalanya.
 
baby keluar terus menangis, then nurse letak baby atas dada saya. tak dapat nak gambarkan perasaan saya masa tu. gembira, terharu, tak percaya, bersyukur  semua bercampur. en. husband cium dahi saya dan cakap terima kasih. macam tak percaya baby yang saya bawak selama 9 bulan tu kini dah ada dalam dakapan saya. selepas tu baby dibawak keluar oleh nurse untuk dibersihkan. saya pulak tunggu masa untuk dijahit. nurse suntik ubat bius dan mula menjahit. masa jahit lapisan dalam tu memang tak rasa apa-apa tapi bila sampai dekat kulit luar, terangkat jugak la punggung menahan sakit, dengar bunyi jarum berdetus kat kulit. sampai saya tanya dekat nurse, banyak lagi ke. huhu sakit macam tak bius langsung. dah la tiap kali habis satu jahitan, nurse tekan dengan kapas untuk serap darah yang keluar. memang sakit la ditekan-tekan kat situ. En. husband takde dah masa tu, nurse suruh keluar dulu. lepas solat subuh dan beli sarapan, baru en husband datang semula. masa tu baby dah ada di sebelah saya untuk disusukan.
 
wad penuh masa tu so saya kene tunggu dalam bilik bersalin sampai wad kosong. lama jugak la saya duduk dengan en husband dan baby dalam tu. sempat berborak dan ambil gambar dulu. dalam pukul 9 pagi baru saya ditolak masuk ke wad. en husband request wad kelas dua masa tu tapi malangnya aircond rosak. memang saya berpeluh-peluh la time tu. saya berdoa jek supaya boleh balik petang tu jugak sebab tak larat nak duduk dalam bilik sauna tu. Alhamdulillah petang tu saya boleh balik sebab baby dah kencing dan berak. so inilah pengalaman saya bersalin kali pertama. saya bersyukur kerana Allah mudahkan semuanya. memang sakit bersalin tu tak mampu diceritakan dengan kata-kata tapi bila baby dah keluar, semua tu hilang dan rasa berbaloi sangat. memang perasaan yang tak boleh digambarkan. hanya mereka yang lalui sahaja yang faham. (^_^)
 
gambar fresh dalam bilik bersalin
lepas Damia dah dibersihkan.
 
 
p.s: terima kasih temankan saya wahai suami...
       kalau takde tak tahu la macam mana saya nak lalui semua tu sorang-sorang....
 
 
DIKNA

Wednesday, April 24, 2013

Pengalaman bersalin (part 1)

Salam,
 
Hari ni saya nak ceritakan pengalaman melahirkan Damia. Anak pertama kan, so memang takde pengalaman lagi. Dah masuk minggu 30 ke atas masa tu dah mula rasa nervous, tak tahu nak expect apa. risau kalau dah keluar tanda tapi tak perasan ke apa ke, tak tahu tanda yang mana yang akan keluar. setiap orang berbeza kan. so teruslah menjalankan aktiviti harian dengan penuh debaran. masa tu memang cepat sangat penat, nak tidur susah, semua posisi pun tak selesa. bila bangun dari tidur pun sakit sangat bahagian celah kelangkang tu, nak jalan memang berpaut kat dinding dan almari. memang mencabar sangat masa tu. rasa tak sabar sangat nak bersalin sebab tak sanggup tiap pagi nak bangun tu sakit macam tu. sampai rasa taknak baring taknak tidur.
 
so akhirnya saat tu sampai jugak. saya ada masalah kenaikan berat badan yang agak melampau sepanjang kehamilan. so bila berat naik banyak, saya kene pergi klinik kesihatan setiap dua hari sekali untuk monitor tekanan darah dan buat urine test. so tanggal 9 Mac tu macam biasa pagi tu saya pergi klinik kesihatan untuk buat pemeriksaan. masa dalam toilet untuk ambik urine tu saya perasan ada darah dalam urine tu, dan masa tu saya pusing then tiba-tiba rasa pinggan macam tergeliat. memang sakit sangat sampai keluar air mata. saya duduk lama dalam toilet sampai hilang sakit tu. saya dah rasa nervous masa tu, dah sampai masa ke? tapi saya baca kalau keluar darah mungkin akan bersalin hari tu atau esok nya. so saya decide untuk tanya nurse apa perlu saya buat dan nurse suruh saya pergi hospital. berdebar betul masa tu.
 
risau memang risau tapi sempat jugak sarapan dulu dengan En. Husband dan lepas tu baru bergerak ke hospital. dalam perjalanan tu saya diam jek sebab takut dan nervous. sampai kat hospital dalam pukul 10 saya pergi daftar dulu, then nurse suruh bawak kain batik dan masuk ke dalam bilik tu untuk diperiksa. mula-mula kene ambil urine dulu dan tukar kain. lepas tu nurse suruh baring dan diorang start pasangkan alat untuk buat CTG tu. lama nye la tunggu benda tu. masa tu tak sakit so saya sempat la tengok orang-orang di katil sebelah yang meraung-raung sakit. dalam hati dah stress dah dengar orang menjerit-jerit. tak sakit pun boleh jadi sakit macam ni. huhu bila dah selesai CTG tu, datang doktor lelaki cina dia tanya macam-macam, kenapa datang semua la dia tanya, then lepas tu sampai la saat nak kene seluk untuk tengok bukaan. berdebar sangat masa tu, dah la doktor lelaki, pastu first time nak kene seluk ni. asyik dengar orang cakap sakit kene seluk so jadi takut.
 
dan akhirnya kena la jugak seluk, takde la sakit macam yg orang cerita sampai rasa nak sepak orang semua tu. masih ditahap ringan jugak la rasa dia. maybe tengok orang yang seluk jugak kot. entahla. bila seluk bukaan baru 2 cm. lama lagi la macam tu kan. datang lagi seorang doktor dan dia scan baby pulak. dia cek semua normal dan ok dan die beritahu masa tu berat baby 3.4 kg. saya menganga kejap, alahai besarnya, takut la pulak. tapi doc cakap tu anggaran sahaja, maybe akan jadi lagi berat atau lagi ringan dari tu. selesai semua doc benarkan saya balik sebab masih tiada contraction. doc pesan kalau dah ade contraction yang kerap baru datang semula ke hospital. So kitorg pun balik la rumah dulu. selesai semua dalam pukul 2 petang.
 
masa tu dah ada start sakit pinggang dan rasa contraction tapi tak kerap lagi. saya balik rumah berehat dan petang tu sempat lagi saya balik rumah mak saya. sempat la makan sambal udang besar dulu. banyak sangat saya makan mlm tu. walaupun dah rasa sakit selera makan tu ada jugak. takpela, makan la puas-puas sebab nanti pantang lama tak boleh makan sedap-sedap. dalam pukul 10.30 malam saya balik rumah dan masa masuk kereta tu dah start da contraction setiap 5 minit sekali. tapi masih boleh bertahan. En. Husband tanya nak pergi hospital terus tak tapi saya suruh balik rumah dulu sebab malas nak pergi takut kena balik lagi. sampai kat rumah contraction tu makin sakit tapi saya still bertahan. saya cuba tidur tapi tak boleh dan akhirnya pukul 1 pagi saya dah tak tahan sakit dah makin kerap dan makin sakit saya ajak En. husband pergi hospital.
 
 
bersambung di part 2...
 
 
Dikna

Selamat datang....

 
Salam,
 
Sudah agak lama saya tinggalkan blog ni. Alhamdulillah ketika saya menaip entri ini, saya telah pun selamat bersalin dan telah selamat menghabiskan pantang selama 44 hari. Saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan secara normal pada 10 Mac 2013 pukul 5.42 pagi. betul-betul subuh baby ni lahir. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memudahkan semua urusan. cerita pasal pengalaman bersalin dan juga berpantang saya cerita kemudian yer. saya perkenalkan anak perempuan saya yang diberi nama Damia Zahra binti Muhammad Izzat Haqim.
 
 
Damia Zahra
1 hari
 
dan hari ini
 
Damia Zahra
46 hari
 
Alhamdulillah Damia membesar dengan sihat dan aktif. semoga dia terus diberi kesihatan yang baik dan membesar menjadi anak yang baik dan solehah. InsyaAllah. nanti ada masa saya update lagi yer. ini pun menaip sambil meriba Damia yang merengek nak tidur tapi tahan mata. huhu (^_^)
 
p.s: Bersyukur atas nikmat dan rezeki yang Allah berikan. Alhamdulillah...
 
 
Dikna
 
 
 

Thursday, January 3, 2013

tujuh bulan sudah...

Salam,
 
lamanya tak membebel, sedar-sedar dah masuk tahun baru dah. masuk tahun 2013 means dah tak lama dah nak bersalin...hehe agak nervous kat situ. sekarang dah masuk 29 weeks iaitu sama dengan 7 bulan seminggu. perut dah kedepan dengan jayanya. berat pulak dah masuk angka 7. memang membesar bagai johan kan. btw, esok 4 januari kene minum air gula untuk kali keduanya. so ni dah start puasa. hope tak pening macam hari tu la....
 
sekarang ni nak tidur malam pun tak berapa selesa, mengiring kekiri baby tendang belah kiri, mengiring ke kanan, baby tendang belah kanan. telentang memang best tapi orang kata tak elok kan, so terpaksa la ubah mengiring tu kiri dan kanan. weekend hari tu pulak hampir tiap hari kene serangan simpul biawak tu. ala yang kaki krem tiba-tiba tu. tengah tidur sedap-sedap memang terus terjaga bila krem tu datang. memang habis la En. Husband kene kejut dengan kasarnya suruh tarik kaki tu. nak menangis rasanya, nasib baik la ada En husband yang selalu jek jadi mangsa kene tarik kaki la, urut kaki la, urut belakang la...terima kasih banyak-banyak yer sayang...sekarang tiap malam tidur pakai stoking, Alhamdulillah dah tak kene serangan krem tu buat masa ni.
 
sekarang ni cepat sangat mengah, jalan sikit mengah. mana tak nye, berat dah berapa pulak kan. berat baby tak tau berapa sekarang sebab esok baru nak scan. ni baru 7 bulan kan, kalau 9 bulan nanti macam mana pulak ek? larat ke lagi nak berjalan-jalan? tapi dekat-dekat nak bersalin kene banyak jalan kan. orang kata boleh mudahkan proses bukak jalan tu. hope larat la lagi nak berjalan semua.
 
baby dalam perut ni pun makin aktif sekarang. menendang jek kejenya. kadang-kadang tu mengeras. tapi time mengeras tu memang tak selesa la. bab tendang tu bes sikit, yela kalau tak rasa dia gerak langsung tu masalah pulak kan. memang tunggu jek dia tendang sebab dah kene kira carta pergerakan bayi tu.
 
hari tu kakak ipar saya ada tangkap gambar saya time sambut besday mak tahun baru hari tu, mak ai besar giler badan. hahaha terkejut tengok badan sendiri, tengok kat cermin macam boleh terima lagi bila tengok gambar, alahai besor bebenor mak buyung sorang ni. En. husband yang dah memang besar tu pun kalah tau. kembang betul saya ni. dengan mood tak terurus nyer. serius malas nak cantik-cantik kan diri time mengandung ni. janji ko siap pakai baju, pakai tudung sarung tu dah...nak mekap-mekap, bedak bagai memang takdela. orang kata pucat jek. tapi seriously takde mood untuk tu. lantak la orang nak cakap tak siap ke ape. ramai jek orang cakap tak siap tapi dah memang takde mood nk buat macam mana. lagipun kulit muka ni dah tak sporting macam before kawin dulu. senang sangat naik jerawat. berparut muka. kalau dulu nak jumpa jerawat satu pun susah. so malas nak pakai krim ke apa, takut bertambah jerawat. just cuci muka jek sekarang. lagipun maybe hormon kot. banyak betul perubahan fizikal masa pregnant ni kan. tapi hati happy jek, gemuk pun tak kisah, muka comot pun tak kisah, jalan macam penguin pun tak kisah, yang penting saya dan baby sihat.
 
hope pantang nanti dapat turunkan balik berat badan ni ke tahap asal dan lagi satu hope mood nak melawa tu datang la balik. taknak la nanti orang cakap baru beranak satu dah macam makcik-makcik dah. bukan la nak melawa mekap tebal tu, cukup la terurus dan siap sikit muka tu, berseri sikit orang kata. harap-harap macam tu la.
 
panjang nyer membebel. dah la kot sampai sini. nak pergi berehat pulak. nanti saya sambung lagi yer. bubye.
 
 
p.s: nak letak gambar tapi malu sebab besar sangat...
       next time la tunggu besar lagi ek...(^_^)
 
 
DIKNA

Friday, December 14, 2012

penyakit mengidam dah datang...

 
Salam semua,
 
lama tak membebel kat sini kan, ni cerita last week sebenarnya tapi entah kenapa mood nak menaip tu tak datang pulak. so tajuk jela tersimpan dalam draft dekat seminggu. malam ni baru datang mood tu pun sebab tinggal sorang-sorang kat rumah. En. husband dah selamat buat rutin mingguan dia, main badminton. nak ikut tu memang tak la kan, kejap lagi ada yang tertidur dekat court badminton tu. lagi-lagi bila perut dah memboyot ni, baik duduk rumah dan tidur jek lagi bagus. tengok dah melalut cerita lain pulak.
 
nak cerita pasal mengidam ni, sepanjang pregnancy ni saya takde la pulak gejala mengidam yang melampau atau pelik-pelik. masa awal-awal dulu macam tak selera tengok nasi campur masa lunch, so hari-hari pun beli nasi ayam, tak kisah la kat mana janji nasi ayam, then lepas tu ada satu masa tu gila sangat dengan maggi goreng mamak tapi nak yang dekat mamak warta bangi jek. entah kenapa entah, tapi rasa maggi mamak tu sedap sangat. bila dah habis fasa tu terus jadi normal balik. normal tapi dengan kadar selera yang melampau. tu yang berat pun naik melampau.
 
tiba-tiba last week penyakit mengidam ni datang. selama hari ni tengok jek orang upload gambar, cerita pasal benda ni tapi tak pernah rasa nak makan pun. entah kenapa minggu lepas, tengok gambar benda ni terus rasa teringin sangat-sangat. memang kalau boleh nak time tu jugak. tapi selalu kene order online la, tak pernah pulak tau kat mana ada jual yang memang dah siap. maklumla tak pernah berminat kan. tapi sebab terlampau teringin last week, sanggup cari bakeri online yang memang ada jual ready stok. finally dapat la jugak, terus sms sis tu tanya ada ke tak, memang plan nak pergi hari tu jugak. but sadly benda tu habis dan dia kata esok akan ada stok baru. terus postpone untuk cari benda tu esoknya.
 
kebetulan esok tu jumaat so lunch hour kan lama, senang la nak pergi kedai dia. dekat-dekat lunch tu sms dia balik tanya, dia cakap ada. memang kompemla nak pergi jugak lunch tu. kebetulan opismate yang jadi peneman setia cuti pulak, so pergi jugak walaupun sorang-sorang ke balakong, kedai bakeri tu. memang dia tak bukak, tapi sebab dah beritahu nak datang beli benda ni, pekerja dia tunggu. memang tabah betul demi benda yang satu ni kan. finally dapat jugak. nak tau apa benda yang diidamkan sangat tu? ala yang tengah hot sekarang ni la...ni ha...
 
 

 
durian crepe....(^_^)
1 pack ni ada 4
harga dia RM10
 
 
 
memang dapat tu masuk jek kereta terus ambil satu,
tak tunggu lagi dah


dan apa lagi, ngap la kan...huhu
memang sedap sangat-sangat
puas hati....
baby pun menendang tanda gembira... (^_^)
 
oh yer, nak cerita jugak kat mana beli durian crepe yang sedap ni, saya beli dekat sis awin, nama kedai dia awin macaron. kalau berminat nak cuba, boleh la pergi tengok fb dia, saya dah bagi link sekali. memang sangat sedap durian crepe dia, btw dia bukan la jual durian crepe jek. ada banyak lagi makanan yang best-best macam macaron dan kek, siap ada buat kelas lagi. so boleh la tengok-tengok.
 
nasib baik la dapat jugak durian crepe ni kan, sebenarnya dah siap cari resipi ingat nak buat sendiri tapi alat nak membuat benda-benda ni semua kat rumah mak jek ada. rumah sendiri mana ada apa-apa. huhu so terbantut la niat nak buat kat situ. tapi rindu nak baking sekarang. nanti la bila dah ada budget lebih, nak beli sikit-sikit barang untuk start balik aktiviti membakar kek dan membuat kuih semua. right now, kene readykan barang baby dan barang untuk berpantang. so nanti la kan... (^_^)
 
 
p.s: tak tahu la lepas ni penyakit mengidam apa pulak yang datang
       mintak-mintak takdela yang pelik-pelik dan payah dicari....(^_^)
 
 
 
DIKNA

Monday, November 26, 2012

hasil borong di Pureen Warehouse Sale


Salam,

last entry saya dah cerita pasal kemeriahan Pureen Warehouse Sale kan, so sekarang saya akan kongsi apa yang berjaya saya sambar di sana. memang berbaloi-baloi. tapi macam nak pengsan la untuk hasil yang berbaloi. huhu memang sampai rumah dah pengsan dah kami berdua, tertidur sebab letih sangat.
so jom kita tengok apa yang kami beli kat sana yer....



ni hasil barang-barang kat sana,
detergent yang liquid n powder (RM16 dan RM12),
liquid cleanser untuk botol susu (RM16),
sabun head to toe (RM11)
 baby wipes 2 jenis yang kecik (RM3) dan besar (RM9),
mosquito repellent (RM16)
baby teether (RM4)
Berus botol susu (RM4)
pampers dry5 premium (RM24)
nappy rash cream (RM10)


yang tu baru sebahagian jek, tu semua ambil kat bahagian depan warehouse. yang bawah ni pulak yang kitorang ambil di bahagian belakang warehouse. tempat paling meriah sekali kat dalam tu....



baju baby.....
baju 9 pasang (RM15x2, RM8, RM10, RM6, RM3x6)
harga ada yang sepasang sekali atau asing-asing harga for seluar dan baju
stokin comel (RM5 sepasang)
tuala besar (RM12)
tuala kecil(RM5)
hooded blanket (RM12x2)
lagi satu tu selimut baby (RM10)

so untuk semua barang-barang tu total adalah RM258.....berbaloi-baloi kan....huhu tak puas lagi belek-belek baju-baju dan barang tu semua. en. husband suruh simpan dalam stor tapi saya taknak, letak dalam bilik tidur jugak. so pagi-pagi bukak mata dah boleh nampak barang baby...(^_^)

p.s: tengok barang baby tu mesti dah boleh teka my baby gender kan? (^_^)


DIKNA

Sunday, November 25, 2012

Pureen Warehouse Sale


Salam,
Semalam saya dan en husband berjaya menyerbu Pureen Warehouse Sale yang orang kata kalau pergi sana macam nak pergi berperang. actually saya pergi sekali dengan anak sedara, wife dan jugak anak beliau yang comei, Qisya. patutnya dia tak bawak anak kecik dia tu tapi takde siapa nak jaga so terpaksa la juga bawa. before pergi ni memang saya buat reseach dulu, baca blog orang yang pernah pergi untuk tengok apa yang selalu diorang beli, tip-tip penting, dan macam-macam lagi la. so takde la terkena kejutan elektrik kat sana sebab keadaan dia memang la macam kat medan perang.

kami bertolak dari rumah seawal jam 7 pagi, berkumpul di rumah mak saya. dalam pukul 8.30 kami dah sampai di depan pintu gate Pureen tu. memang dah penuh orang yang menunggu walaupun warehouse tu start pukul 10. hujan-hujan pun ramai yang sanggup tunggu. saya breakfast je dekat pintu pagar tu sambil menunggu. memang tabah betul M2B yang dah sarat-sarat tu tunggu, termasuk la saya kan. tapi saya takdela sarat. kalau dah sarat saya rasa tak sanggup kot.
Dalam pukul 9.30 pagi diorang dah bukak pintu pagar tu, Ya Allah, berebut-rebut semua orang nak masuk macam kambing terlepas kandang....huhu berhimpit-himpit. boleh penyek perut sebab bertolak-tolak. then semua orang berlari-lari sampai la ke stesen hujung di belah belakang kilang iaitu tempat baju. tip penting adalah sambar jek apa yang tercapai dan masukkan dalam beg ikea biru yang dibekalkan then baru pilih kat tepi. memang kalau tak buat macam tu alamatnya korang tenung jek la rak baju yang kosong tu.
ni keadaan bawah khemah depan pintu pagar Pureen tu...
memang bersesak-sesak...
belum pukul 9 lagi time ni...

ni pula di belakang khemah
sampai kat jalan raya pun penuh orang....


kami semua pakat sambar dan duduk kat tepi pilih, itu pun yang murah macam RM1, RM3 tu memang tak banyak yang dapat. saya dapat banyak yang RM10, RM15 jek. memang cepat betul orang sambar yang tu.so bermulalah aktiviti memilih, tengok saiz dan design yang kitorg berkenan. memang rambang mata la, tapi tengok yang orang lain sambar lagi la jeles sebab cantik-cantik. tapi dah tu jek rezeki, terima jela kan.  sementara pilih tu, orang bertambah ramai memang sesak sangat. dah siap pilih, kitorg pun bergerak ke stesen seterusnya di bahagian depan.
saya bersama anak sedara n wife dia serta anak kecik beliau
tengah duduk memilih baju yang sesuai...
memang penuh sangat orang kan...


di bahagian depan ada barangan lain seperti pampers, toileteries, accessories baby, napkin, botol susu, baby wipes, detergent dan macam-macam lagi. dekat sini pun penuh jugak, memang berlaga-laga perut la nak lalu tu. tapi memang murah la. semua orang borong berkotak-kotak. kitorang just ambil apa yang diperlukan jek. tu pun x ambil banyak. dah siap semua, kene tempuh lagi satu proses yang panjang jugak iaitu bayar. memang panjang sangat barisan. nasib saya baik sebab anak sedara memang dah beratur kat depan. dia panggil jek kami. alhamdulillah, dalam pukul 11.30 semua dah settle.
ni pula di kaunter bayaran....
tu en husband dan jugak anak sedara tengah tunggu cashier kira...
saya dah duduk kat tepi dah tolong tengokkan qisya..


memang satu pengalaman yang menarik la sebab sampai ada yang nak bergaduh-gaduh kat situ. yela, orang dah ramai-ramai, bertolak-tolak tu perkara biasa la. ini orang tu siap marah pulak, konon-konon macam tak puas hati dengan dia. apa kejadahnya. dah memang sesak, biasala tu kan tertolak, terlanggar, tersiku or whatever. kalau korang memang tak reti sabar dan tak boleh bersentuh langsung dengan orang lain, tak payah la pergi tempat macam ni. pergi jela shopping kat supermarket yang besar-besar tu, mothercare ke kan. memang takde siapa nak tolak korang. tak faham betul dengan manusia macam ni.
bagi saya, sangat berbaloi-baloi pergi sini walaupun terpaksa bersesak-sesak. barang dia sangat la murah. lebih-lebih lagi baju baby. memang best sangat la. kat luar tak dapat harga macam tu. nak kata design tak lawa, sangat comel-comel tau. next time, maybe boleh la pergi lagi tapi kalau en. husband sanggup la. saya ok jek. (^_^)
p.s: nak tengok apa yang berjaya disambar
       tunggu next entry yer...(^_^)
DIKNA

Saturday, November 24, 2012

Scan 3D/4D plus detail scan with Jezzlyn


Salam,

khamis, 22 Nov 2012...

Saya berjaya booking slot untuk scan 3D/4D with Miss Jezzlyn yang famous tu. siapa yang pregnant mesti tahu fb 3D 4D scan Malaysia  or website dia bayi-ibu.com. saya duk baca blog M2B, kebanyakan mereka pernah buat scan dengan Miss Jezzlyn. selalu nak book appoinment cepat jek penuh, finally dapat jugak book pada masa yang sesuai sebab saya nak buat detail scan sekali. detail scan sesuai masa baby dalam minggu 18 hingga 24. 3D/4D scan pula sesuai dalam minggu 22 hingga 28 lebih kurang la. sebab kalau dah 30 minggu keatas takut dah tak nampak sebab baby dah besar.

so pakej buat 3D/4D scan dengan detail scan in 2D ni RM200. dapat percuma CD dan jugak gambar. en husband mintak jugak detail scan untuk tengok baby secara detail dan periksa kecacatan bayi. bagi saya memang berbaloi-baloi la. miss Jezzlyn ni sangat sabar tunggu sampai kita nampak muka baby. dia bagi penerangan tentang detail scan tu pun jelas. saya dapat tengok setiap anggota badan, jantung, tulang, jari kaki dan tangan, tulang dan organ lain dan dia tengok sama ada normal atau pun tidak. memang detail la dia scan. puas hati sangat. jantina baby pun cepat jek dia confirmkan. tanpa ragu-ragu, dia cakap terus 100% confirm. (^_^)
tapi baby saya memang sangat la pemalu orangnya. lama sangat dia pujuk-pujuk baby suruh tunjuk muka tapi my baby tidur lena dan buat tak layan jek. dia tidur tangan dan kaki semua kat muka. bayangkan la macam mana nak nampak muka dia. lama sangat tunggu tapi tak nampak jugak, dia mintak kami jalan-jalan dulu kat luar sementara dia scan orang lain. then dia panggil balik, kali ni memang lama la sebab sekali dengan detail scan but still my baby taknak tunjuk muka dia. memang naughty sungguh your baby dia cakap.


macam ni la my baby tiap masa
sorok muka dia dengan tangan n kaki dia....
tidur taknak layan kitorang....


After penat la memujuk si comel ni, ada la jugak nampak muka dia tapi sekejap jela. then dia letak balik tangan dia kat muka.siap nampak dia menguap dan menganga lapar. saya memang belum makan time tu. ada jugak dia senyum kejap then tutup muka balik. sabar jela. nasib baik la Miss Jezzlyn tu sabar orangnya. tak jemu-jemu pujuk baby tunjuk muka dia. nak tengok my baby?




 taraaaa.....





ni la muka dia yang mahal sangat nak tunjuk tu... (^_^)
still kecil lagikan,
kalau nak tengok yang dah tembam kena tunggu week 28
sekarang baru week 23.

so pada M2B yang nak scan 3D/4D ni, saya recommend sangat pergi dekat Miss Jezzlyn ni. memang puas hati sangat. so jom la pergi terjah ramai-ramai. jantina baby dah confirm, so boleh la shopping barang baby dengan konfiden lepas ni. apa yer jantina my baby? hehe biarlah rahsia dulu kan. nant teka bila saya dah beli barang baby yer.... (^_^)

p.s: berjaya jejakkan kaki dekat Pureen Warehouse Sale tadi...
       memang macam pergi berperang....
       tunggu next entry yer....(^_^)


DIKNA

Friday, November 23, 2012

saya kene refer awak ke hospital.... (T_T)

Salam,
Entry lepas saya ada beritahu saya pening lepas minum air gula tu kan, then minggu ini saya pening dua hari berturut-turut dan muntah masa malam pertama tu, habis semua burger ayam special saya makan keluar balik. then saya makan buah mangga, tak sampai berapa minit semua pun keluar balik. saya dah pelik dah, takkan mabuk balik. kepala ni berpusing-pusing jek. esok harinya saya pergi kerja macam biasa tapi pening kepala masih lagi ada. gagahkan juga la tapi Alhamdulillah tak muntah pada hari tersebut. sebab risau pening tu tak hilang-hilang, balik kerja hari tu saya terus singgah klinik yang saya selalu pergi untuk scan baby tu.

doktor cek saya punya blood pressure, gula dan cek perut. semuanya ok jek. cuma perut saya kembung. memang tu masalah saya sejak azali, banyak angin....huhu then dia cek saya punye urine. saya yang pening-pening ni turutkan jela. lepas bagi urine tu, saya tunggu result dulu kat luar. then nurse panggil masuk balik. doktor cakap result urine saya ada protein. saya blur-blur jek time tu. dia kata kena refer saya ke hospital, dia akan buat surat dan saya kena pergi hospital lepas ni. saya angguk-angguk jek. dia takut ada simptom pre-eklamsia. saya pernah la baca pasal benda tu tapi pelik sebab blood pressure saya tak tinggi pun.
saya sorang jek masa pergi klinik tu, saya beritahu en. husband then saya balik rumah untuk mandi dan solat dulu. lepas magrib baru kami bergerak pergi hospital. saya termenung dan diam jek sepanjang jalan. risau sangat dan takut sebab tak pernah masuk hospital seumur hidup saya. tapi demi baby, redha kn jela pergi menyerah diri kat hospital. macam biasa la, pergi tempat kecemasan tu, memang ramai la orang dan lama perlu menunggu. tapi ibu mengandung kan ada priority so takde la lama sangat. dia cek balik semua blood pressure dan jugak urine. tunggu result urine yang lama, memang nervous sangat masa tu. finally, result dah kuar, doktor beritahu semuanya normal jek. takde protein pun dalam urine saya macam yang klinik beritahu. doktor suruh saya balik dan dia bagi panadol untuk pening kepala saya. happy sangat sebab tak perlu bermalam di hospital. Alhamdulillah....(^_^)
lega dan bersyukur sangat rasa sebab semuanya baik-baik sahaja. tapi memang buat suspen betul malam tu. alhamdulillah semuanya normal. maybe saya tak cukup rehat kot. mintak-mintak lepas ni takde lagi masalah macam ni. semoga baby dan saya sihat selalu. Aminnn....

p.s: ramai yang tegur perut saya besar,
       tak macam lima bulan setengah....
       dah nama pun saya memang azali buncit....of coz la besar (T_T)


DIKNA

Friday, November 16, 2012

pengalaman minum air gula yang...???


Salam,

saja nak share pengalaman baru dengan korang semua. sepanjang pregnancy ni banyak sangat benda baru yang saya belajar dan lalui. lepas ni mesti banyak lagi benda baru kan. hari ni pergi KK Bangi lagi padahal baru isnin hari tu pergi checkup, tapi disebabkan peningkatan berat badan yang sangat melampau so nurse suruh datang lagi hari jumaat iaitu hari ini untuk minum air gula.

selalu dengar ibu-ibu mengandung cerita pasal minum air gula ni. daripada cerita diorang tu minum air gula ni macam menakutkan jek. risau jugak sebenarnya masa tahu kena minum tu. tapi redha jela kan. nak buat macam mana, sapa suruh berat naik melampau-lampau. tapi itulah, selera makan ni lately memang tinggi. kejap-kejap dah lapar lagi. jom tengok berat badan saya dulu dan sekarang.

berat sebelum pregnant = 62 kg
berat after morning sickness sebulan = 58 kg
berat last month checkup = 61.5 kg
berat hari isnin (12/11/12) = 64 kg
berat hari ni (16/11/12) = 65.5 kg

see? naik dengan jayanya kan. takut tengok berat naik macam tu. sekarang baru 5 bulan setengah, so cuba bayangkan 9 bulan....huhu boleh bawak badan ke tak ek? hope boleh la, sekarang pun kalau jalan banyak sangat kaki ni memang lenguh dah. tapi asyik la nak berjalan jek. nasib baik la ada En. husband yang rajin urut saya....terima kasih wahai suami.. (^_^)

so berbalik kepada cerita minum air gula tadi. sampai KK dalam pukul 8 terus ambil nombor dapat la nombor 4028. kira lambat jugak la tu. then duduk tunggu sampai dia panggil, bila nombor naik, saya pun pergi ke bilik tersebut dan diberi satu borang dan jugak 2 botol kecil untuk letak darah tu. then tunggu giliran ambil darah, after that masuk bilik tadi balik dan ambil la 1 cawan air gula yang telah disediakan tu dan minum sampai habis. rasa dia? macam air gula la, memang sakit tekak minum. pekat dan manis sangat. yang saya dapat tu air gula biasa, tiada perisa mcm yang orang lain cerita. dah la kena puasa malam tu start 10 malam, then kene tunggu lagi 2 jam after minum air gula tu untuk ambil darah sekali lagi. memang hampir pukul 12 tgh hari jugak baru selesai semua. dah ambil darah kali kedua baru boleh balik. result tak tahu pun, maybe next check up kot.

tapi saya start dari ambil darah yang first tu dah mula pening kepala. maybe sebab tak makan kan. memang sampai tengah hari. then habis tu decide untuk pergi klinik untuk ambil mc, x larat sangat kepala ni pening lepas tu rasa macam nak muntah. dah dapat mc baru la pergi makan tengah hari. tu pun makan tak habis sebab perut dah masuk angin. memang aim nak balik rumah dan tidur jek. hasilnya saya tidur dari tengah hari tu sampai la ke petang. nasib baik sedar kejap pukul 3 lebih tu bangun dan solat zohor. then sambung tidur balik sampai 6 lebih. tu pun En husband kejutkan suruh solat asar. baru lega sikit pening kepala. punya lama la tidur kan. sekarang ni pun still pening-pening lagi. maybe terlebih tidur kot.

so itulah pengalaman saya. semua first time kan so banyak sangat benda baru yang saya tak tahu. hope baby sihat dan aktif jek cuma sekarang baby kurang gerak sangat. tapi bila scan macam aktif. doakan saya dan baby sihat selalu yer. gender baby doc tak confirm lagi so kita tunggu lagi sebulan.
ada masa nanti saya update lagi yer. bubye....


p.s: dah start beli barang baby sikit-sikit...(^_^)


DIKNA